Sejarah Ribut Tropika Greg 1996
Kesan untuk Kota Kinabalu
Salah satu daripada lampu limpah Stadium Likas tumbang. Akibatnya, separuh daripada jalan berdekatan terhalang. Selain itu, bumbung stadium ini juga diterbangkan angin.
Di ibu negeri Sabah ini, dilaporkan bahawa terdapat bumbung serta atap beratus-ratus buah rumah, pokok-pokok dan papan-papan iklan yang ranap diterbangkan angin. Sampah sarap berupa potongan beluti dan papan bertaburan merata-rata tempat.
Bangunan Yayasan Sabah terpaksa ditutup pada 26 Disember akibat kerosakan serius pada beberapa bahagian bangunan terbabit. Semua kakitangan Jabatan Ketua Menteri dan Yayasan Sabah yang berpejabat di situ diarahkan supaya bercuti ada hari itu. Struktur yang terjejas ialah tingkat bawah yang menempatkan pintu masuk ke lif. Hal ini disebabkan oleh bahagian silingnya hampir musnah serta sebahagian dinding cermin pecah dan tercabut.
Tingkat 7 yang menempatkan Jabatan Ketua Menteri dan tingkat 19 yang dijadikan pejabat-pejabat bagi yayasan tersebut, juga mengalami kerosakan apabila tingkap-tingkap di bahagian menara itu pecah.
Di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, tiga tingkat bangunan yang mempunyai empat tingkat itu mengalami kerosakan teruk. Antara yang terjejas ialah dewan persidangan DUN. Di situ, tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Joseph Pairin Kitingan; ADUN Langkon, Dr Maximus Ongkili; ADUN Dilantik, Datuk Lawrence Gimbang dan Chong Ket Wah; serta ADUN Karamunting, Datuk Lau Pui Keong, mengalami kerosakan. Selain itu, dua tempat duduk Timbalan Speaker dan Setiausaha DUN juga terjejas. Barisan kerusi ADUN lain tidak terjejas kecuali bahagian Kabinet negeri. Kerosakan pada bahagian itu disebabkan oleh serpihan atap cermin jatuh dari jarak kira-kira lapan meter, serta beberapa dinding kaca berhampiran eskalator.
Sekolah-sekolah di Kota Kinabalu juga binasa. Antaranya SK Pulau Sepangar, SK Gentiasan, SK Kebagu Menggatal, SK Rampayan Menggatal, SK Tobobon Menggatal, SK Karambunai Telipok, SK Melawa Telipok, SK Lapasan Telipok, SMK Menggatal, SMK Pulau Gaya, SMK Inanam, SMK Agama Inanam, SMK Likas dan SMK Perempuan Likas.Atap bangunan Sekolah Kebangsaan Darau yang baru dibina pada tahun itu telah diterbangkan angin ribut.
sumber:wikipidea

No comments:
Post a Comment